TUJUH GOLONGAN YANG DINAUNGI ALLAH DI AKHIRAT KELAK
1) Imam yang adil.
(Imam ini termasuklah golongan para pemimpin dan hakim. Banyak cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhi untuk menjadi pemimpin yang adil.)
2) Pemuda yang kuat beribadat.
(Sukar untuk menemukan pemuda masa kini yang rajin beribadah, rajin ke masjid, rajin mengunjungi majlis ilmu dan sebagainya. Biasanya kita sering lihat orang yang lebih dewasa/tua (umur 35 tahun ke atas yang sudah berkeluarga) yang cenderung ke arah hal-hal ukhrawi kerana kita beranggapan yang tua lebih hampir dengan mati. Sedangkan hakikatnya mati tidak mengenal usia. Sesungguhnya bertuahlah bagi wanita yang mendapat suami dari golongan ini. )
3) Orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah.
(Segala urusan (mesyuarat, ke pejabat, dan lain-lain) yang dibuat adalah ibadah. Bukan bertujuan maksiat dan kejahatan)
4) Orang yang digoda oleh perempuan cantik dan kaya tetapi ditolak dengan berkata “Sesungguhnya aku takut akan Allah.”
(Iman dan ketaqwaan golongan ini sangat hebat kerana perasaan takut kepada Allah mengatasi nafsunya. Dalam konteks dunia hari ini, lihatlah betapa ramai umat Islam yang tewas kepada nafsu sendiri. Kita memang tiada kuasa untuk menghalang atau membanteras maksiat yang berleluasa sehinggakan peluang untuk melakukan maksiat sangat terbuka luas tetapi kita mampu untuk mendidik jiwa dan keluarga kita supaya sentiasa dekat dengan Allah.)
5) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid.
(Kenapa masjid? kerana sebenarnya fungsi masjid bukan sahaja sebagai tempat untuk menunaikan solat malah ia adalah sebuat tempat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Kita mungkin kaya dengan ilmu fardhu kifayah tetapi bagaimana dengan ilmu fardhu ain? Jasad kita perlu makan untuk hidup tetapi bagaimana pula dengan roh kita?
Apabila kita sering mengunjungi masjid, sekurang-kurangnya roh kita telah diberi makan dengan sewajarnya. Berkunjunglah ke masjid kerana saya pasti anda akan beroleh manfaatnya. Banyak tazkirah, kuliah magrib, bacaan kitab, dan pelbagai lagi ilmu akan diperoleh apabila kita sentiasa dekat dengan masjid.
Sesungguhnya dalam hal ini para lelaki lebih afdhal untuk sering mengunjungi masjid kerana mereka merupakan tonggak keluarga. Besarlah harapan para isteri kepada suami jika ilmu yang diperoleh boleh dijadikan panduan dalam mentadbir rumah tangga.)
6) Orang bersedekah dan memberi kerana Allah sehinggakan tangan kiri tidak tahu tangan kanan yang memberi.
(Ini adalah orang yang ikhlas beramal dan tidak menunjuk-nunjuk. Sebenarnya digalakkan juga untuk dipublisitikan apabila ada dermawan yang menderma dengan tujuan menggalakkan orang lain juga turut beramal. Hal dia nak menunjuk atau riak dan sebagainya itu adalah urusannya dengan Allah.
Kita tidak sepatutnya mencemuh mereka yang suka menderma ini dengan kata-kata yang sinis seperti “alah nak menunjuk la tu” atau “bagi kalau tak ikhlas buat apa?” dan macam-macam lagi sebab sebagai hamba Allah, kita tidak mampu untuk mentafsirkan apa yang tersirat dalam hati manusia. Ikhlas itu terlalu subjektif untuk dinilai. Hanya Allah sahaja yang tahu rahsia hati setiap hambaNya.
Para lelaki juga dinasihatkan oleh Rasulullah supaya menjadi seorang yang pemurah. Petikan daripada hadis Nabi Muhammad saw, terdapat 3 sifat yang dikira buruk untuk lelaki tetapi elok untuk wanita. Sifat-sifat tersebut ialah malu, bakhil dan takut. Cuba fikirkan kenapa?)
7) Orang yang sentiasa berzikir kepada Allah sehingga mengalirkan air matanya. (Allahuakbar!)
0 comments:
Post a Comment